Cinta agama Sultan_Mansur_Shah

Sultan Mansur Shah turut memuliakan alim ulama sambil mendalami ilmu agama hingga ke tahap ilmu tasawuf. Apabila kitab Ad Darrul Manzum karangan Maulana Abu Ishak diarak dari kapal sampai ke balairong seri, baginda datang sendiri berguru dengan Maulana Abu Bakar. Kemudian menitahkan pula supaya kitab itu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di Pasai oleh Makhdum Patakan. Dalam banyak hal keagamaan, baginda lebih suka merujuk ke Pasai kerana negeri itu lebih kanan dalam segi agama. Kanun undang-undang Melaka dikatakan mirip kepada keislaman dan qadhi Melaka ketika itu ialah Sayid Yusof iaitu anak kepada Sayid Abdul Aziz yang telah mengislamkan Melaka.

Pendek kata zaman baginda, Melaka sampai puncak kegemilangannya kerana diperintah oleh raja yang berilmu, adil dan pencinta agama. Tambahan pula ada pembantu-pembantu negara seperi Paduka Bendahara Tun Perak dan para hulubalang. Kata Tom Pires lagi:

“..tidak diragui lagi bahawa Melaka begitu penting dan beruntung sekali, nampaknya bagi saya tiada bandingannya dalam dunia.. barang siapa menjadi raja Melaka meletakkan tangannya ke kerongkong Venice..”